Berbuka dengan Bubur Lambuk Pemberian Pak Abu

Salam sejahtera buat semua.

Bubur Lambuk..

Susuk pak cik itu sebenarnya sangat asing. Tetapi kehadirannya telah dijangka kerana Vincent telah memberitahu semalam bahawa pemandu bas yang lain akan mengambil alih tugasan pada hari ini kerana dia mengambil cuti.

Sangkaan awal saya, pasti sukar untuk pak cik ini mengambil alih tugas Vincent yang peramah. Lagi pula, pasti dia tidak tahu lokasi yang akan ditujui oleh setiap jurutera ke kapal masing-masing.

Sangkaan saya meleset. Pak cik ini juga peramah orangnya. Saya sebenarnya segan nak bertegur sapa. Tetapi lancar sahaja saya berkata-kata dengan pak cik kemudiannya. Kami berbicara menggunakan bahasa Melayu! Inilah kali pertama saya berpeluang untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu sejak berada di pejabat tapak projek.

*****

Selesai tugasan di atas kapal untuk hari ini, pak cik ini telah sedia menanti dengan bas untuk membawa kami pulang ke kawasan pejabat. Barulah saya berpeluang untuk bercakap lebih lanjut dengan pak cik ini. Lagipun, pak cik memang banyak bercerita mengenai pengalaman dia sewaktu bekerja.

Walaupun seorang warganegara Singapura, pak cik ini pernah bekerja di Batu Pahat setelah kilang tempat dia menjadi penyelia, bertukar lokasi. Walaupun bekerja di Batu Pahat kemudiannya, dia tidak menetap di sana dan berulang-alik ke Singapura setiap hujung minggu menggunakan kereta Toyota Camry kepunyaan syarikatnya.

Sebenarnya pak cik ini bertanyakan di masjid mana saya berbuka puasa. Sudah pasti saya menjawab di bilik sahaja kerana saya tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk bergerak ke lokasi yang jauh. Daripada sinilah dia membuka cerita mengenai kesanggupan dia untuk berbuka puasa di Masjid Ba’alwie yang terletak di Bukit Timah, walaupun sebenarnya dia tinggal di Woodlands dan pada waktu tersebut masih bekerja di Batu Pahat.

Masjid Assyafaah Sembawang Singapura

Kebetulan pak cik ini ada mengambil bubur lambuk yang diagihkan oleh Masjid Assyafaah, dia menghulurkan sebungkus bubur lambuk tersebut kepada saya untuk dibuat juadah berbuka puasa. Saya pun tidak mempunyai perancangan untuk berbuka dengan apa. Saya terima pemberian pak cik ini dengan ucapan terima kasih.

Sebelum pak cik ini bergerak ke destinasi yang seterusnya, sempat saya bertanyakan nama pak cik tersebut.

“Panggil saja Pak Abu”

beliamuda: Mungkin inilah kali pertama dan kali terakhir saya berbicara dengan Pak Abu. Kalau masih punya peluang untuk ketemu, mungkin di masjid-masjid sekitar Singapura.

2 thoughts on “Berbuka dengan Bubur Lambuk Pemberian Pak Abu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge