Kembara 1000KM!

Salam sejahtera buat semua.

Jupo di KB deh!

Hari Jumaat sehingga Selasa yang lalu merupakan hari-hari yang sangat memenatkan, namun ianya merupakan kembara perjalanan yang dinanti.

Kembara bermula dengan penerbangan pulang daripada Singapura terus ke Kota Bharu pada hari Jumaat yang kemudiannya disambung dengan perjalanan ke UTP di Bandar Seri Iskandar, Perak pada keesokan harinya untuk menghadiri Majlis Konvokesyen ke-12 Universiti Teknologi PETRONAS. Urusan di UTP selesai pada hari Isnin dan perjalanan disambung dengan destinasi dituju adalah Puchong. Kembara berakhir pada hari Selasa apabila saya tiba semula di Singapura.

Penerbangan Pulang ke Kota Bharu

Jumaat, 19 Oktober 2012

Persediaan awal daripada segi barang keperluan yang perlu dibawa untuk majlis konvokesyen telah dibuat pada bulan September lagi iaitu sewaktu kepulangan selama seminggu di Puchong. Jadi, penerbangan pulang ke Kota Bharu cukup sekadar sebuah beg galas sahaja.

Balik konvo dengan satu backpack je.

Penerbangan terus ke Kota Bharu diambil dengan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh FireFly seperti pulang beraya tempoh hari. Penerbangan tiba seperti yang dijadualkan walaupun kapal terbang lambat berlepas dari Changi Airport disebabkan oleh hujan lebat sekitar pukul 12 tengah hari. Hanya 14 penumpang sahaja yang menaiki penerbangan tersebut (tidak termasuk krew kapal dan pramugari).

Masa yang ada pada petang Jumaat tersebut telah diisi dengan menziarahi nenek belah Abah dan Mama yang tidak sihat. Nenek belah Mama baru sahaja dimasukkan ke wad di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pada hari tersebut sementara nenek belah Abah telah beransur sihat daripada demam.

Perjalanan Merentasi Banjaran Titiwangsa

Sabtu, 20 Oktober 2012

Perancangan asal adalah untuk bergerak sekali dengan dua buah kereta dari Jelawat namun disebabkan saya perlu sampai lebih awal untuk mengambil jubah dan pas masuk daripada bekas rumet, maka saya bertolak lebih awal pada pukul 8 pagi. Kalau ikut pelan asal, pukul 7 lagi dah nak gerak. Lepas selesai menikmati sarapan yang disediakan Mama, baru boleh gerak.

Bagasi kembara pulang ke UTP

Saya tidak berhenti seperti kebiasaan apabila memandu ke UTP dari kampung halaman yang mana saya akan berhenti makan di Hentian Perah. Cukup sekadar berhenti buat sementara waktu di stesen Petronas Jeli, stesen Petronas Gerik dan Hentian Rehat & Rawat (R&R) Sungai Perak sebelum sampai di rumah sewa Luqman di Medan Bali Emas sekitar pukul 2 petang. Perjalanan adalah lancar dibantu keadaan trafik yang lengang.

Majlis Konvokesyen ke-12 UTP

Ahad, 21 Oktober 2012

Graduan Sesi I perlu berada di di Kompleks Canselor pada pukul 7 pagi untuk mengambil kad nama graduasi dan beratur sebelum perarakan masuk ke dalam Dewan Canselor. Sebenarnya saya sangat mengantuk pada pagi tersebut kerana tidur pada pukul 2 pagi pada malam sebelumnya. Nasib baik mata kekal celik sepanjang berlangsungnya majlis konvokesyen.

Majlis Konvokesyen ke-12 UTP

Sebagai graduan penerima skrol di sesi pagi, kesempatan untuk bersalam dengan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Canselor UTP dengan ucapan tahniah yang disampaikan hanya mampu dibalas dengan ucapan terima kasih dan seulas senyuman.

“Terima kasih Tun!”

Berlumba Dengan Kamera AES ke Ibu Kota

Isnin, 22 Oktober 2012

Sebelum bergerak pulang ke Puchong pada hari Isnin, urusan menghantar semula jubah konvokesyen dan mengambil sijil berserta dengan transkrip lengkap perlu diselesaikan terlebih dahulu. Masa yang masih ada juga boleh diluangkan untuk bersua muka dengan rakan-rakan yang lain.

Sempat juga makan tengah hari bersama-sama beberapa rakan lain di Medan Selera Seri Iskandar yang ditaja oleh Zulfadhli sebelum masing-masing bergerak ke destinasi yang dituju. Ada yang perlu kerja pada keesokan harinya. Namun ada juga yang menyambung cuti sehingga selepas Hari Raya Aidiladha.

Tepat pukul 4 petang, saya bertolak dari Ipoh menuju ke Puchong melalui Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). Pemanduan dipastikan berada dibawah had laju yang ditetapkan dengan GPS telah bersiap sedia untuk memberi amaran apabila menghampiri kawasan yang dipasang perangkap had laju mahupun kamera AES.

Terperangkap di persiaran yang paling sibuk!

Kesilapan memasuki lorong selepas Plaza Tol Subang menyebabkan saya terperangkap didalam kesesakan lalu lintas di Persiapan Kewajipan. Nasib baik tak lama sangat. Timing tak kena sebab bertembung dengan orang pulang dari tempat kerja.

Perjalanan yang bermula dari kampung halaman dan berakhir di Puchong berjumlah hampir 1000KM iaitu sejauh 874KM. Ini tidak termasuk jarak penerbangan pulang dari Singapura ke Kota Bharu dan kembali semula ke Singapura dari LCCT.

Bismillah. Semoga Allah memudahkan perjalanan ke bumi Tronoh.     Selamat di Taman Saujana Puchong.

beliamuda: Harap dapat tempuh lagi kembara seperti ini. Yang tak best sikit kali ni sebab Viva meragam. Ada bunyi berdecit terhasil secara berkala daripada bahagian enjin.

3 thoughts on “Kembara 1000KM!

  1. As-salam tumpang tanya,

    bolehkah nyatakan nama syarikat jurugambar rasmi pada konvokesyen utp 2012.

    Kalau tak silap kedainya di Shah Alam.

    Maaf menggangu dan terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge