Blog

  • Patutkah Kita Membeli Maxis iPhone?

    Pada hari Khamis yang lepas, aku ada menerima satu mesej ringkas daripada Maxis berkenaan tawaran pembelian iPhone yang secara eksklusif dibawa masuk oleh Maxis. Sebenarnya, aku telah mengetahui lebih awal tentang tawaran itu melalui blog saudara Amanz. Secara rasminya, Maxis telah melancarkan Apple iPhone 3G untuk pasaran Malaysia pada Jumaat,  20hb yang lalu. Sebenarnya, ramaikah yang akan mengambil peluang dengan tawaran tersebut? Buat masa ini, Maxis adalah satu-satunya telco yang membawa masuk iPhone ke Malaysia, namun pada bulan Jun ini berkemungkinan telco lain akan turut menawarkannya (twitter).

    iValue Plans

    Maxis telah menyediakan 8 pelan untuk iPhone 3G yang dipanggil iValue Plans yang dibahagi kepada dua iaitu untuk kontrak selama 12 bulan dan juga 24 bulan. Harga untuk iPhone 3G bermula daripada RM0 hingga RM1900 untuk 8GB dan RM260 hingga RM2290 untuk 16GB.

    Kesemua iValue Plans melibatkan pakej penggunaan data untuk 500MB sehingga 3GB sebulan. Berbanding Maxis Value Plus Plans, kadar panggilan (baca: voice rate) dan caj SMS untuk iValue Plans jauh lebih mahal.Apple iPone Maxis

    Adakah iPhone 3G sesuai untuk anda?

    Disebalik segala fungsi menarik yang ditawarkan oleh Apple iPhone 3G, terdapat beberapa kelemahan dan kekurangan fungsi:

    • Tidak boleh mengalihkan pandangan semasa sedang menaip pada iPhone kerana skrin sesentuhnya yang sensitif (kemungkinan tersalah taip sangat tinggi).
    • Tidak boleh menaip dengan sebelah tangan seperti telefon bimbit biasa kerana saiz masalah capaian oleh ibu jari untuk menaip.
    • iPhone tidak menyediakan fungsi SMS forward.
    • Tidak boleh memindahkan fail melalui bluetooth iPhone kerana ia tidak menyokongnya.
    • Tidak boleh copy and paste (fungsi kegemaran aku, terutama untuk salin ayat-ayat yang panjang dalam mesej atau untuk tambah nilai).
    • Tidak menyokong rakaman video.
    • Tiada flash pada kamera.
    • Pembesar suara yang kurang “mengaum”.
    • Bateri tidak boleh diganti kerana ia adalah bateri terbina dalam iPhone.
    • Tidak menyokong animasi Flash dalam laman web.

    Mungkin ada antara anda yang tidak kisah dengan kelemahan tersebut. Tapi, anda perlu tunggu dahulu kerana perisian terbaru untuk iPhone iaitu iPhone OS 3.0, yang mana bakal memperkenalkan lebih daripada 100 fungsi menarik. Versi yang digunakan dalam iPhone yang ditawarkan oleh Maxis sekarang ialah versi 2.2. Bagaimanapun, iPhone OS 3.0 adalah percuma untuk kesemua pengguna iPhone.

    Lagipun, terdapat kemungkinan versi terbaru iPhone bakal dikeluarkan tidak lama lagi (Mac Buyer’s Guide). Bagi yang sudah lama terkeliur untuk membeli iPhone, tiada masalah untuk anda terus membeli. Anda sebagai pengguna lebih berhak untuk memilih. Mungkin untuk dipertonton kepada rakan-rakan anda :-).

    [kredit untuk LiewCF]

    beliamuda: aku pernah tengok iPhone yang dimiliki oleh Abu Ghaly, seorang pelajar Mesir yang berada dalam kursus yang sama dengan aku… aku lebih berminat untuk memiliki Nokia N82.

  • Permohonan Kemasukan ke IPTA sesi 2009/2010

    KENYATAAN AKHBAR
    TARIKH TUTUP PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA
    MELALUI APLIKASI DALAM TALIAN ( ONLINE APPLICATION )
    BAGI PROGRAM PENGAJIAN LEPASAN SPM/SETARAF

    SESI AKADEMIK 2009/2010

    1. Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf dengan mengguna pakai Aplikasi Dalam Talian (Online Application) melalui Laman Web Rasmi Kemasukan Ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my yang telah dibuka mulai 3 Februari 2009 yang lalu.
    2. Calon perlu mengemukakan permohonan dengan mengguna pakai Nombor Unik ID, Nombor Kad Pengenalan / My Kad, Kata Laluan, Nama Ibu serta Kod Imej. Pemohon boleh membeli Nombor Unik ID dengan harga RM 10.60 di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara atau menggunakan ATM (BSN) ataupun SMS Banking bagi pemegang akaun BSN sehingga tarikh tutup permohonan.
    3. Calon dibenarkan mengemukakan satu (1) kali permohonan dan tiga (3) kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi SPM 2008 diumumkan iaitu 25 Mac 2009 (Rabu).
    4. Tarikh tutup permohonan bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf Sesi Akademik 2009/2010 ialah 25 Mac 2009 (Rabu).
    5. Semua pemohon Lepasan SPM 2008 (Kategori A) yang telah mengemukakan permohonan ke IPTA FASA 1 wajib mengesahkan permohonan mereka di FASA 2 dengan menggunapakai nombor Unik ID, Nombor Kad Pengenalan / My Kad dan Kata Laluan, Nama Ibu dan Kod Imej sebelum tarikh tutup permohonan.
    6. Justeru KPT menyarankan dan menasihati agar semua pemohon Lepasan SPM 2008 mengemukakan permohonan awal dalam usaha meningkatkan kelancaran dan mengurangkan kesulitan tempoh masa pemohon mengemukakan permohonan mereka. Kaedah ini merupakan langkah pre-emptive KPT dalam meningkatkan mutu perkhidmatan serta melicinkan lagi pengurusan permohonan kemasukan ke IPTA selaras dengan dasar kerajaan yang mengutamakan sistem penyampaian perkhidmatan secara berkesan dan mesra pengguna.
    7. Sebarang kemusykilan boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, KPT di talian telefon: 03-88835801, 03-88835802, 03-88835858 dan 03-88835848 atau e-mel upu@mohe.gov.my.

    beliamuda: sumber di atas diambil daripada laman UPU Kementerian Pelajaran Tinggi. Sila isi borang dalam talian ini sebelum 25 Mac 2009.