Salam sejahtera buat semua.
Setiap pagi dalam perjalanan ke tempat kerja, saya akan membuka radio IKIM.fm. Kebetulan segmen pada pukul 7.30 pagi itu sangat menarik minat saya. Tapi sampai sekarang saya masih belum tahu apakah nama slot tersebut.
Selepas slot tersebut, DJ akan ke udara dengan segmen berkaitan isu semasa yang kebiasaannya akan diambil daripada tajuk yang terdapat dalam surat khabar pada hari tersebut. Dalam slot itu, pendengar diberi peluang untuk menyatakan pendapat dan komen masing-masing melalui panggilan ke konti radio atau secara dalam talian melalui Facebook dan Twitter.
Sering kali, ada pemanggil yang mengutarakan penyelesaian dengan kembali kepada Islam (biasanya bukan pemanggil tetap). Saya tertanya-tanya, apakah yang dimaksudkan dengan kembali kepada Islam?
Jawapan tersebut terlalu umum dan bukan merupakan cara yang spesifik dalam penyelesaian suatu masalah. Bukanlah bermaksud saya menafikan pandangan yang diutarakan tersebut, namun saya lebih suka jawapan yang lebih spesifik. Apakah langkah yang lebih spesifik itu bukan cara Islam?
Jawapan ‘kembali kepada Islam’ itu seperti menampakkan ketidakupayaan kita untuk memperincikan suatu bentuk penyelesaian yang lebih jelas dan lebih terpandu untuk diikuti. Kalau ramai faham benar apa itu Islam, mungkin jawapan kembali kepaa Islam itu akan lebih bermakna.
beliamuda: Suka jawapan yang diberikan oleh beberapa pendengar setia yang selalu membuat panggilan ke konti radio IKIM.