Salam sejahtera buat semua.
Hari ini saya mahu bersantai seketika. Ada lagi lapan hari sebelum paper terakhir. Kemudian lagi lima hari sebelum memulakan latihan industri di Celestica, Kulim Hi-Tech. Nanti saya ceritakan liku dalam pemilihan tempat intern ni di kemudian hari.
Sekarang mahu bercerita tentang pengalaman saya menggunakan handphone (telefon bimbit). Lebih tepat lagi handphone Nokia. Kenapa Nokia? Sebab inilah handphone pertama yang digunakan dan yang sedang saya pakai sekarang. Apakah handphone pertama anda?
Telefon Bimbit Pertama – Nokia 3315
Semasa di Tingakatan 2, saya berada jauh dengan keluarga kerana belajar di MRSM Transkrian. Melihat ramai rakan-rakan yang memakai henset pada masa tersebut, saya pun teringin sama. Lagipun, pada masa tu, kalau nak guna telefon awam (public phone) agak sukar kerana bayaran yang agak mahal. Kalau guna duit syiling tu, kena siap sedia terus satu beg plastik. Alternatifnya, guna kad telefon yang berharga RM10 sekeping.
Kebetulan pada masa tersebut, larangan menggunakan henset masih belum dikuatkuasakan lagi di MRSM. Jadi, pada masa tu mula simpan duit sikit-sikit. Apabila hasrat tersebut diajukan kepada Mama, harapan untuk mendapatkannya semakin cerah.

Tiba cuti sekolah bulan Mei tahun tu, terus dapatkan henset Nokia 3315. Pada asalnya rancang nak dapatkan Nokia 3310 je. Kalau dah dapat yang lagi up, suka la kan? Dah dapat henset tu, mula la belajar nak sms anak dara orang. 😛
Tapi malang tidak berbau. Tidak sampai empat bulan pakai pun Nokia 3315, ia kemudiannya disambar orang. Hari tu, bukan saya seorang sahajalah yang kena. Ada lagi beberapa orang rakan lain turut kehilangan henset, dicuri. Kebetulan dengan hari terakhir persekolahan sebelum cuti pada bulan September. Dah la hari tu ada exam, kertas geografi. Sumpah seranah jugak la kepada si pencuri tersebut. Nasib baik masih skor kertas geografi. ^_^
Telefon Bimbit Peralihan – Motorola dan Alcatel
Beberapa bulan berlalu dan saya telah berada di Tingkatan Tiga. Kalau tak silap, masa tu bulan Mac. Saya dan rakan-rakan dalam kelab Taekwondo menghadiri tournament Taekwondo pertama MRSM se-Malaysia di MRSM Jeli. Pada masa inilah saya ditawarkan dengan henset Motorola kepunyaan Mama saya. Sekurang-kurangnya ada henset untuk digunakan. Dengan nombor baru yang masih digunakan lagi sehingga ke hari ini, saya mula menggunakan henset Motorola.

Bila dah kena sekali pengalaman henset dicuri, setiap kali nak cas henset tu memang berhati-hati habis la. Kebetulan pula pada tahun tersebut telah dikuatkuasakan larangan membawa henset ke maktab. Banyak kenangan dalam usaha untuk sorok henset setiap kali ada spot check oleh warden. Sembunyi dalam kasut la, sorok bawah baju la dan macam-macam cara lagi. Yang paling stail kalau bawa dalam poket terus. Bukan kantoi pun.
Hampir dua tahun guna Motorola, beralih kepada Alcatel (juga tak ingat model apa). Henset Alcatel ni asalnya kepunyaan Abah, tapi sebab Radicare nak bagi henset lain, Alcatel ni jatuh ke tangan saya. Henset Motorola pada masa tu dah tenat sangat.

Apa yang best dengan henset Alcatel yang ni, walaupun kaler hitam putih, tapi nada dering henset ni ada bunyi macam polyphonic (up daripada monophonic yang bunyi tak best). Saiz dia pun kecil molek. Setiap kali orang tengok mesti ingat henset Nokia yang mahal (tengok dari bahagian belakang, tapi tak ingat serupa dengan model yang mana).
Henset Alcatel ni dipakai sampailah saya telah berada di UTP untuk pengajian di peringkat asasi dan dipakai sehingga selepas keputusan SPM 2006 diumumkan. Kenapa selepas SPM? Sebab dapat hadiah henset baru lepas tu…
beliamuda: Entri ni dah lama ditulis, tapi terlupa nak dilepaskan lebih awal… Henset pertama yang betul-betul dibeli adalah Nokia 3315 dan yang kedua adalah dalam entri selepas ini…
Leave a Reply