Salam sejahtera buat semua.

[gambar]
Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Teknologi Petronas (MPP UTP) akan dijalankan pada minggu ini. Entah kenapa kali ini aku sedikit terasa kehangatannya walaupun calon yang bertanding jauh lebih sedikit daripada tahun lepas dan tiada seorang calon pun daripada batch aku.
Pada malam manifesto untuk Kerusi Umum (baca: General Constituency), ada enam calon yang bertanding untuk mengisi lima tempat yang akan mejadi HICOM MPP. Entah kenapa sikit sangat kali ni pun aku tak tahu. Ura-ura mengatakan, pada awalnya agak ramai juga yang menghantar borang. Entah kenapa boleh jadi enam, aku pun tak tahu. Kerusi Program juga telah dimenangi tanpa bertanding semuanya berbanding tahun lepas yang terdapat pertandingan.
Semasa malam calon-calon menaburkan janji-janji mereka, aku merupakan antara orang yang berada dalam dewan tersebut dan terpaksa berdiri sepanjang berlangsungnya majlis. Bukan kerana tiada tempat duduk, tetapi disebabkan amanah sebagai petugas pada malam tu (bukan Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR).
Aku tidak memanggil pemilihan MPP UTP sebagai Pilihan Raya Kampus (PRK) kerana keadaan di sini jauh berbeza berbanding keadaan pemilihan di universiti lain, terutamanya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Di sini tiada calon Pro-Mahasiswa atau Pro-Aspirasi. Calon di sini lebih ditonjolkan sebagai individu, walaupun sebenarnya, mereka mempunyai kolompok sokongan yang kuat daripada badan-badan persatuan di UTP.
Pada tahun lalu, terdapat dua kelompok besar calon. Boleh dikatakan, suasana pemilihan tahun lalu, ada iras-iras PRK di tempat lain. Satu kelompok yang kelihatan lebih cenderung kepada golongan “putih” sementara satu kelompok lagi dilihat sebagai golongan “kelabu”. Susah untuk ulas panjang mengenai suasana tahun lalu, tapi golongan “putih” ini mendapat sokongan lebih besar dan kesemua calonnya menang.
Tahun ini, dua kelompok ini tidak kelihatan dan aku kira semua calon ini boleh dikatakan golongan “putih”. Namun, seperti biasa, pemilihan MPP UTP tidak akan lari daripada spekulasi dan kontroversi. Yang biasa kedengaran ialah pengaruh salah satu badan terbesar di UTP iaitu Rakan Masjid. Rakan Masjid dilihat berdiri di belakang calon daripada golongan “putih” dan ada yang mendakwa calon-calon ini dihantar sendiri daripada badan tersebut. Aku tak mahu komen hal ini, yang penting fungsi MPP itu tidak lari daripada memperjuangkan hak pelajar.
Calon-calon tahun ini dilihat terpengaruh dengan gagasan idea 1Malaysia apabila kebanyakan mereka memperjuangkan manifesto kesatuan pelajar UTP. Satu lagi dugaan besar dalam pemilihan kali ini apabila MPP dicabar untuk lebih memberi pengaruh kepada pihak pengurusan. Sem ini, banyak keputusan pihak pengurusan dikatakan tidak mengambil kira pandangan daripada pelajar mahupun wakil pelajar seperti pembatalan Study Week dan masalah sambungan LAN interblock.
Manifesto ini kali ini diisi denga kontroversi soalan yang telah dirancang oleh pihak-pihak tertentu dan dakwaan calon yang mengatakan dia berdiri tanpa sebarang sokongan daripada mana-mana organisasi UTP. Dalam enam calon tersebut, hanya calon ini sahaja yang menggunakan medium blog dan hits blognya meningkat berganda selepas malam manifesto. Kepada yang berminat, boleh lawati blognya di sini.
Hari pembuangan undi adalah pada 28 Oktober, dan jangan tanya calon sokongan saya. UNDI ANDA ADALAH RAHSIA. (^_~)v
beliamuda: apakah golongan “putih” dan “kelabu” ni? Isitilah ini aku gunakan untuk menggambarkan “putih” sebagai golongan yang mempunyai matlamat jelas dan golongan “kelabu” sebagai golongan yang agak samar-samar dengan perancangan mereka.
Leave a Reply