Salam sejahtera buat semua.
Saya sangat tak suka apabila muncul suatu masalah yang jalan penyelsaiannya terpaksa melibatkan orang lain dan wang pada masa yang sama kerana ianya akan memakan masa. Masalah seperti ini baru sahaja menjelma dan disedari lewat petang semalam.
Masalah yang dimaksudkan adalah seperti apa yang dicatatkan dalam tajuk entri kali ini. Saya telah mengesan wujudnya gerakan pantas meter air yang abnormal pada paip air utama. Pengesanan ini adalah secara tidak sengaja apabila saya mendengar bunyi gerakan mekanikal yang tidak biasa selepas keluar daripada kereta di depan pintu pagar rumah sewa.
Kecurigaan ini membawa saya untuk memeriksa apakah puncanya gerakan meter air yang sepertinya tidak mahu berhenti langsung. Telahan awal saya yang menyangka rakan serumah sedang membasuh baju nyata meleset. Bunyi air mengalir turut dapat didengari dari tandas yang terletaknya paip air utama ke tangki.
Perbandingan bacaan terkini dengan bacaan terakhir yang dibuat pada 10 April yang lalu nyata membawa maksud wujudnya aliran air yang tidak sepatutnya. Untuk lima hari, penggunaan telah dicatatkan sebanyak 20 m3. Walhal bacaan untuk dua bulan sebelumnya, jika digabungkan barulah setara dengan bacaan selama tempoh lima hari ini.
Setakat ini, punca kebocoran masih belum dapat dikesan dan langkah kawalan awal hanyalah dengan menutup kunci air paip utama apabila tidak digunakan. Jangkaan awal kami, terdapatnya kebocoran di bahagian paip utama yang terletak di bahagian bawah tanah sebelum aliran masuk ke tangki. Tidak mungkin masalah berpunca daripada tangki kerana apabila kunci air paip ke tangki ditutup, pusingan meter masih lagi galak seperti sebelumnya.
Buat masa ini, tuan rumah telah dimaklumkan dan hanya menanti tindakan seterusnya daripada beliau. Dia turut bersetuju untuk menanggung kos bil air sepanjang bulan ini. Saya sebenarnya sudah serik dengan kejadian serupa yang telah melanda hampir dua tahun yang lalu apabila bil air tiba-tiba sahaja melambung tinggi. Saya serik!
beliamuda: Kalau betul kebocoran berlaku di bahagian bawah rumah, kos baik pulih pastinya tinggi…


Leave a Reply