Salam sejahtera buat semua.
[Amaran: Sila baca keseluruhan artikel]
Semalam, saya ada melihat tiga keping salinan laporan yang bertajuk “Sampel Franfurter Lembu (Ramly) didapati mengandungi DNA khinzir” yang telah dikongsikan oleh rakan di Twitter. Laporan tersebut yang bertarikh 24 Oktober menyatakan tentang Food Alert yang dilaporkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah. Salinan laporan tersebut yang telah tersebar boleh dilihat di bawah. Saya pasti ramai yang telah melihat salinan laporan tersebut yang tersebar dalam laman sosial.
Untuk paparan lebih jelas, sila klik pada gambar-gambar di atas dan baca isi kandungan yang terdapat di dalam kertas laporan tersebut.
Sebaik sahaja mendapat salinan laporan seperti yang tertera di atas semalam, saya telah mengajukan pertanyaan khas terus kepada pihak Ramly Food Processing Sdn. Bhd., Bahagian Halal JAKIM dan Pihak Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (awal pagi tadi).
Setakat ini, hanya pihak Ramly yang telah memberikan maklum balas dengan salinan surat penafian khas mengenai perkara ini berserta surat sokongan yang berkaitan, sijil halal yang dikeluarkan oleh Halal Industry Development Corporation (HDC) dan juga salinan laporan polis (berkaitan dengan sebaran laporan di atas dan ke atas sebuah blog yang menyebarkan).
01hb Disember 2011
Kepada
YANG BERKENAAN
PENAFIAN FRANKFURTER BERJENAMA RAMLY MENGANDUNGI DNA PORCINE (KHINZIR)
Perkara di atas adalah dirujuk.
Kami menafikan sama sekali dakwaan tersebut. Tidak pernah dalam amalan pembuatan kami dan perniagaan kami berlaku perkara sebegini. Proses pembuatan kami diselia rapi oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, JAKIM dan jabatan lain yang berkaitan sebagai mengekalkan prestasi pembekal produk halal (lampiran sijil JPV / surat Pejabat Kesihatan Daerah Kulim – ada di bawah yang dihantar kepada Pengurus Giant Superstore Kulim).
Saya, Dato’ Haji Ramly Bin Mokni, isteri dan keluarga merupakan pemilik 100% kumpulan syarikat Ramly dan tanda niaga RAMLY, adalah seorang muslim dan amat menitik berat soal hukum halal haram dan perniagaan yang telah bertapak lebih dari 30 tahun serta syarikat ini diurus oleh 1,000 orang kakitangan yang 100% muslim tidak memungkinkan melakukan perkara yang ditegah oleh agama. (lampiran carian syarikat SSM – turut dihantar oleh pihak Ramly tetapi saya tidak masukkan dalam entri ini. Boleh rujuk di Flickr).
Kami juga mempunyai jabatan halal yang diketuai oleh Ustaz Mohamad Rafizie Bin Kastor (berkelulusan dalam bidang syariah dari Universiti Sains Islam Malaysia) dan kami juga telah menubuhkan jawatankuasa halal dalaman yang dianggotai oleh semua jabatan terlibat dalam pemprosesan untuk mengeluarkan produk mengikut standard manual JAKIM (lampiran sijil halal JAKIM / keputusan ujian DNA makmal Technology Park Malaysia Biotech – ada disertakan di bawah).
Pengguna boleh berhubung terus dengan Bahagian Hub Halal JAKIM ditalian 03-8315 0200 untuk sebarang penjelasan lanjut (jika ada).
Terdapat penggunaan pembungkusan bukan milik Ramly Food Processing Sdn Bhd dengan nombor batch yang tidak tepat, dan perkara ini dalam tindakan polis dan pejabat kesihatan bagi mengenalpasti pihak-pihak yang melakukan sabotaj terhadap produk kami.
Dalam keadaan ini kami memberi amaran terhadap mana-mana pihak yang sedang atau cuba memfitnah terhadap produk dan organisasi Kumpulan Syarikat Ramly supaya memberhentikan perbuatan ini serta merta dan kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sivil atau jenayah fitnah terhadap pihak-pihak yang masih melakukan perbuatan ini.
Sila ambil perhatian tegas mengenainya.
Yang benar,
DATO’ HAJI RAMLY BIN MOKNI
Pengarah Urusan
Kumpulan Syarikat Ramly

Surat Jabatan Kesihatan Daerah Kulim kepada Pengurus Giant Superstore Kulim
Sijil Halal JAKIM yang dikeluarkan oleh HDC
Sijil Halal JAKIM yang dikeluarkan oleh HDC
Keputusan ujian DNA makmal Technology Park Malaysia Biotech
Terdapat beberapa laporan polis yang telah dibuat oleh pihak Ramly berkaitan dengan isu DNA khinzir yang dikesan dalam Frankfurter Lembu Ramly. Di bawah adalah salinan laporan polis yang turut dikepilkan bersama dalam emel.

Laporan polis yang dibuat pihak Ramly kepada sebuah laman blog

Siasatan akan dijalankan oleh pihak polis berkenaan laporan oleh pihak Ramly

Laporan pihak polis oleh pihak Ramly berkaitan seorang peniaga di Jitra, Kedah
Diharapkan, tulisan kali ini akan menjawab sedikit sebanyak kegusaran pengguna berkenaan produk makanan Ramly terutamanya Frankfurter Lembu yang disyaki mengandungi DNA khinzir. Bagi yang inginkan maklumat lanjut dan lebih jelas, sila hubungi terus pihak Ramly Food Processing di talian 03-61842972.
beliamuda: Isu halal haram makanan bagi umat Islam bukan untuk dipermainkan. Semoga semua jelas dengan isu ini. Jika ada respon daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, saya akan kemaskini kemudian.


Leave a Reply