Mikhail – Novel Terbaru RAM

Mikhail, novel terbaru terbitan alaf 21 daripada RAM atau Ramlee Awang Murshid, penulis novel thriller popular baru sahaja dikeluarkan. Novel Mikhail baru sahaja berada di pasaran mulai Jumaat lepas dan semalam aku telah berjaya mendapatkan novel tersebut yang dijual di Syarikat Muda Osman (SOM). Seperti biasa, harga novel ini ialah RM19.90 dan jika anda bernasib baik anda akan mendapat diskaun yang ditawarkan oleh penjual.

Disertakan sinopsis yang terdapat pada kulit belakang novel ini:

MIKHAIL – bukan sekadar sebuah nama. Selama 16 tahun menjadi pelarian di perantauan, dia muncul semula memburu mangsa-mangsanya. Mikhail membunuh kerana dendam lama. Sewaktu usia remaja, keluarganya telah ditembak mati. Mikhail telah diselamatkan Dickens, seorang lelaki Amerika Syarikat yang juga merupakan rakan niaga ayahnya, Tuan Sadon. Dickens melatih Mikhail menjadi seorang pembunuh profesional untuk membela kematian keluarga.

Dalam pada itu, Mikhail juga menghidapi sejenis penyakit paranormal. Apabila retina matanya terkena cahaya matahari atau silauan lampu yang terang lagi tajam, dia akan berada dalam satu dimensi yang tidak diketahui. Kadangkala dia terperangkap antara dua dimensi – fantasi dan realiti. Akibatnya, Mikhail sukar membezakan mana yang benar.

RAMLEE AWANG MURSHID menampilkan novel MIKHAIL sebagai satu agenda yang dipengaruhi wang bertunjangkan kuasa. Wang serta kuasa dijadikan sandaran sebagai satu simbol kejahatan. Mereka yang enggan bekerjasama akan dijatuhkan hukuman mati. Mikhail pula adalah alat kepada misi pembunuhan itu. Saspens dan penuh emosi!

Ulasan tentang buku ini mungkin akan dilakukan selepas aku habis membacanya, lagi enam bulan mugkin. Bukan apa, buku Hijab Sang Pencinta yang aku beli bulan Ogos tahun lepas juga masih belum habis dibaca. Haha… Sibuk sangat nak baca buku akademik… :p.

Bagi pembaca yang mempunyai akaun Goodreads, anda boleh menambah novel Mikhail ke dalam senarai buku anda. Novel Mikhail telah dimasukkan ke dalam senarai buku di Goodreads oleh beliamuda yang budiman.

beliamuda: jika anda peminat RAM, sila ke laman RAMFC. Terima kasih kepada Nur Akmal kerana entrinya yang memberitahu tentang kewujudan novel ini…