Salam sejahtera buat semua.
Memulakan pagi ini di depan TV dengan menonton siaran langsung Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 membolehkan saya mendapat tahu mengenai duit syiling Malaysia Siri Ketiga yang mula berada dalam edaran pada hari ini. Maklumlah, sebaik sahaja bermulanya peperiksaan akhir tempoh hari, tidak banyak masa yang dapat diluangkan untuk mengetahui isu semasa.
Dalam pengumuman yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 10 Januari yang lalu, duit syiling baharu ini mula berada dalam edaran untuk kegunaan ramai pada 16 Januari 2012. Duit syiling ini boleh didapati melalui urus niaga biasa. Namun, edarannya akan dilakukan secara berperingkat dengan penggunaan duit syiling sebelum ini. Duit syiling lama ini akan dikeluarkan daripada penggunaan secara berperingkat.