Salam sejahtera buat semua.
Hari ini ramai rakan-rakan di Facebook yang berkongsi gambar Wang Kertas Malaysia Siri Baharu yang dikatakan akan mula digunakan bermula Julai 2012. Nampaknya lengkap juga rekaan wang kertas terbaru yang menyerupai rekaan not RM50 yang sedang digunakan sekarang ini.
Dengan perkembangan ini juga, diharap bagi yang masih berkongsi gambar not RM50 edisi SUKOM 98 dengan mengatakan ianya adalah edisi duit RM50 terbaru dapat berhenti daripada menyebarkan info yang salah. Sudah lama sangat khabar angin tipu itu bertiup. Masih ramai juga yang percaya dengan dakwaan tersebut.
Untuk pengetahuan semua, mata wang siri baharu yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ini telah dilancarkan pada hari ini oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib. Mata wang siri baharu ini terdiri daripada wang kertas dan duit syiling baharu dengan reka bentuk yang baharu. Wang kertas yang dikeluarkan adalah dalam denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 dan akan berada dalam edaran pada separuh kedua 2012. Bagi siri baharu ini, substrat polimer digunakan untuk wang kertas RM1 dan RM5.
Wang kertas siri baharu Malaysia ini mendapat inspirasi daripada ciri-ciri unik negara dan memasukkan elemen kekayaan alam semula jadi, budaya dan khazanah negara. Dengan tema ‘Keunikan Malaysia‘, siri wang kertas ini memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, serta ekonomi.
Ciri-Ciri Keselamatan Dipertingkat
Ciri-ciri keselamatan wang kertas siri baharu ini termasuklah:
-
Imej tanda bayang
-
Tingkap pandang telus
-
Potret tera air dengan piksel dan angka
-
Benang keselamatan dengan warna berubah-ubah
-
Benang kanta mikro
-
Tanda pandang telus
-
Petak kilat berwarna untuk memudahkan orang ramai mengenalinya
-
Pengenalpastian secara sentuhan untuk memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan
Wang Kertas Peringatan Siri Baharu 2012
-
Set 2 dalam 1 (denominasi RM1 dan RM5) – 500,000 set yang berharga RM15.00 setiap satu
-
Set Individu (denominasi RM20) – 500,000 set yang berharga RM30.00 setiap satu
-
Set Premium (denominasi RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100) – 50,000 set yang berharga RM300.00 setiap satu. Bagi setiap set ini, semua denominasi wang kertas akan mempunyai nombor siri yang sama
Wang kertas peringatan ini akan mula dijual pada 22 Disember 2011 di Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) dan cawangan-cawangan di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.
Spesifikasi Wang Kertas Baharu Siri Keempat
Denominasi | Bahan Asas | Dimensi | Warna |
RM100 | Kertas | 150mm X 69mm | Ungu |
RM50 | Kertas | 145mm X 69mm | Hijau-biru |
RM20 | Kertas | 145mm X 65mm | Jingga |
RM10 | Kertas | 140mm X 65mm | Merah |
RM5 | Polimer | 135mm X 65mm | Hijau |
RM1 | Polimer | 120mm X 65mm | Biru |
Gambar-gambar di atas diambil daripada Sinar Harian dan siaran segera BNM
beliamuda: Berminat nak dapatkan wang kertas peringatan? Saya dah ada duit syiling peringatan (Siri Ketiga).
Pingback: Gambar Wang Kertas Malaysia Siri Keempat 2012 | beliamuda {dot} com