Tragedi 6 Ogos 2010: Kemalangan Motor di Kulim

Salam sejahtera buat semua.

Celesticos Tribe di Satay House Kulim
Bergambar dengan sebahagian Celesticos Tribe di Satay House Kulim sehari sebelum tragedi. Dalam gambar ialah Zopo, Kak Wa, Saya, Aik, Jak dan Tajul.

Mungkin ini adalah salah satu kisah yang ramai kawan-kawan saya tidak tahu kecuali mereka yang tinggal serumah dengan saya di Taman KTC 3 dan rakan-rakan yang lain yang berpraktikal sekali di Kulim Hi-Tech.

Saya masih ingat lagi tarikh 6 Ogos 2010. Tarikh yang menjadi salah satu titik hitam dalam hidup saya yang mana saya terlibat dalam kemalangan motorsikal. Walaupun kecederaan yang dialami oleh saya tidaklah teruk sangat, tetapi apabila difikirkan balik, ada kemungkinan untuk terjadi sebaliknya.

Segalanya bermula selepas waktu Maghrib pada hari tersebut, hari Jumaat. Masing-masing belum makan lagi kerana pulang daripada kerja pada pukul 5.30 petang. Pada waktu tersebut, baru sahaja seminggu sejak saya mula menggunakan kereta Viva.

Irsyad dan saya bercadang untuk keluar makan selepas solat Maghrib. Irsyad terlebih dahulu menelefon kedai makan yang biasa kami kunjungi, Restoran Teja Permai yang berhadapan dengan bangunan UniKL-MSI Kulim.

Saya pun kurang pasti kenapa pada hari tersebut saya memberi cadangan kepada Irsyad untuk pergi dengan motornya sahaja. Maka, keluarlah kami. Jalan Kulim-Mahang (Route 169) pada masa tersebut agak lengang. Kami meredah malam sambil ditemani angin sejuk yang membelai lembut.

Hospital Kulim
Gambar disunting daripada Skyscrapercity

Kejadian bermula apabila kami berada berdekatan kawasan Hospital Kulim. Di depan satu simpang menghala masuk ke Hospital Kulim (di seberang jalan satu lagi ada simpang menghala masuk ke Taman KTC 1), ada sebuah kereta Proton Wira sedang membuat pusingan U yang sebenarnya tidak dibenarkan. Saya rasa macam perlahan sangat kereta Proton tersebut membuat pusingan U. Macam dah terlebih sampai hampir keluar daripada atas jalan.

Kebetulan juga pada waktu tersebut Irsyad membawa motor agak laju. Sebaik sahaja Irsyad menyedari akan percubaan kereta tersebut, kami sudah terlalu dekat. Tidak sempat membrek, motor yang kami naiki terus sahaja menghentam bahagian depan belah kiri Proton Wira tersebut.

Segalanya berlaku dengan pantas. Saya hanya mampu melihat motor yang kami naiki merempuh kereta tersebut dan perkara seterusnya yang saya tahu ialah saya telah berada beberapa meter terkehadapan di atas jalan. Perkara pertama yang saya fikirkan pada masa tersebut ialah saya harus segera beredar dari atas jalan raya.

Selipar yang saya pakai entah ke mana. Nasib baik topi keledar masih lagi melekat di kepala. Saya bangun dan terduduk di bahu jalan. Tahu apa yang terjadi pada saya? Ya, saya telah tercampak ke hadapan melepasi Proton Wira tersebut dan mendarat di atas jalan. Saya pun tidak pasti bagaimana pendaratan tersebut berlaku.

JEFF..KEMALANGAN
Sekadar gambar hiasan

Kemudian saya hampiri Irsyad yang masih lagi berada di atas motor. Dia tidak tercampak seperti saya. Mungkin kerana saya terlalu ringan sampaikan boleh terbang. Saya tidak mampu untuk terus berdiri. Kepala dirasakan pening dan seperti mahu pitam. Tapi saya gagahkan juga diri saya sebaik sahaja mengutip semula selipar saya yang tercabut.

Kawan kami yang berpraktikal sekali di Celestica iaitu Bob kebetulan lalu di situ untuk menghantar Zureen ke rumah sewa di Taman KTC 1. Dialah yang menghubungi kawan-kawan kami yang lain. Kebetulan juga ada polis yang meronda di jalan tersebut terus sahaja berhenti untuk mengawal keadaan.

Rakan-rakan serumah tiba di lokasi kemalangan tidak berapa lama kemudian. Keadaan Irsyad tidaklah seteruk saya. Seingat saya, mereka berbincang mengenai ganti rugi dengan pemandu kereta Proton Wira tersebut. Pihak polis sekadar mengawal keadaan dan menyerahkan kepada kami sama ada ingin menyelesaikan masalah di luar atau di balai polis.

Klinik 1 Malaysia
Sekadar gambar hiasan

Melihatkan keadaan saya pada waktu tersebut, Acap yang datang dengan menaiki Proton Satria menawarkan diri untuk membawa saya ke klinik. Mungkin ada yang pelik, kenapa tak pergi ke Hospital Kulim je kan? Entahla, saya yang agak blur pada masa tersebut hanya mengikut sahaja.

Saya dibawa ke Klinik Kita di Taman Pandan Indah, Lunas. Saya mengalami luka di bahagian kiri badan, terutamanya di siku dan bahagian tepi tapak kaki. Lutut kiri saya sekadar calar-calar sahaja kerana saya memakai seluar jeans. Sekarang ni sudah terkoyak pun bahagian lutut seluar tersebut.

Saya agak, pendaratan selepas kemalangan tersebut bermula dengan sebelah kiri. Nasib baik bukan kepala yang terhentak dulu. Bahagian pinggang belah kiri pun dirasakan sakit. Tiada tulang yang patah. Cuma bahagian lutut sahaja yang mengalami pendarahan dalaman dan bengkak. Hampir sebulan baru sembuh. Sebab tu la saya terpaksa solat secara duduk seperti yang saya sebut dalam entri “Masa yang Pantas Berlalu, Bertemu Semula dengan Bulan Ramadhan”.

Luka yang tak terasa
Sekadar gambar hiasan

Sebaik sahaja luka selesai dicuci oleh doktor, saya dibenarkan pulang. Doktor mengpreskripsi ubat tahan sakit dan ubat sapu untuk bahagian yang luka. Sebaik tiba di rumah sewa malam tersebut, saya baring sahaja. Terbayang-bayang kejadian kemalangan tersebut. Nasib baik tidak terbawa-bawa ke dalam tidur.

Kesimpulannya, pakailah topi keledar semasa menaiki motor dan ikat dengan kemas, pandulah dengan cermat dan patuhi peraturan jalan raya.

beliamuda: Pada hari tu jugaklah saya baru kenal lagu Cukup Indah nyanyian Alif Satar…

17 thoughts on “Tragedi 6 Ogos 2010: Kemalangan Motor di Kulim

  1. ha ha… tak teruk pon, sebulan je xleh sujud dengan baik ha ha

    First accident, memang takkan dilupakan r

  2. Pingback: Salam Perkenalan Pertama | beliamuda {dot} com

  3. pertama kali terlibat dalam kemalangan memang akan buat trauma kaw-kaw kot. kadang2 kita mmg dah hati-hati tapi kena ingat kita kongsi jalan dengan orang lain. sebab tu kadang-kadang rasa geram dengan orang yang berlagak gila atas jalan raya. sebab orang lain yang buat, orang lain terlibat sama.

    • @nhar, seriously bersetuju dengan statement ni. Pernah jadi kat kawan, accident sebab kelalaian orang lain. Seorang mati, seorang patah kaki. Nasib baik lagi dua luka2 je.

  4. Pingback: Apabila Adik dan Basikalnya Berlanggar dengan Motorsikal | beliamuda {dot} com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge