Salam sejahtera buat semua.
Seperti yang telah dirancangkan bersama dengan Faris beberapa minggu yang lalu, rancangan untuk menjejakkan kaki ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) buat kali pertama akhirnya menjadi realiti. Turut serta dengan kami ialah Farhan Faiz yang menyatakan keinginan untuk turut serta setelah diajak oleh Faris.
Perjalanan yang penuh cabaran dan liku
Walaupun kami telah merancang perjalanan ini beberapa minggu sebelum ini, namun cabaran dan liku tetap menemani kami dalam perjalanan kali ini. Kami telah membeli tiket perjalanan ke KL Sentral seawal jam 5.39 pagi. Pada mulanya, kami bercadang untuk ke stesen KTM Batu Gajah pada pukul 4.30 pagi, namun disebabkan kepenatan, pukul 5 baru Faris dan saya bergerak ke sana. Farhan telah turun lebih awal kerana menghantar seorang lagi kawan kami yang perlu menaiki kereta api sekitar pukul 5 pagi.
Malam sebelumnya, saya menghadiri majlis makan malam perdana (baca: grand dinner) batch Jan 07, UTP. Majlis itu tamat pada pukul 12 tengah malam dan pada mulanya saya merancang untuk tidak tidur langsung kerana khuatir akan terlepas ETS (baca: Electric Train Services) tersebut. Namun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terlelap juga. Nasib baik Farhan ada menghubungi saya sekitar pukul 4.30.
Berkejar jugalah kami ke stesen KTM Batu Gajah. Nasib baik jalan pun agak lengang dan tidak perlu menunggu lama di sepanjang lampu isyarat yang perlu dilalui. Kami tiba di stesen KTM tersebut pada pukul 5.38 pagi dan sebaik sahaja saya memarkir kereta, terus sahaja ETS tersebut tiba dari Ipoh. Berkejar jugalah ke ETS kerana tidak mahu ditinggalkan. Nasib baik kami tiba tepat pada waktunya, jadi sempatlah kami naik ETS tersebut. Kawan yang seorang lagi yang dihantar oleh Farhan sebenarnya telah ditinggalkan oleh kereta api yang dinaikinya, namun nasib baik masih diberi kebenaran untuk menaiki kereta api yang seterusnya.
Inilah kali pertama menaiki ETS dan juga kereta api. Sepanjang perjalanan, saya tidak tidur. Kebetulan saya berada di barisan hadapan, jadi sepanjang perjalanan tu saya menonton filem yang ditayangkan – Harry Potter and The Sorcerer’s Stone. Takdelah bosan sangat dalam ETS tu.
beliamuda: Kita lepaskan dulu bahagian 1. Ada peluang lain yang perlu disambar pagi ni. =) + semua gambar dirakam menggunakan HTC Desire S.
Pingback: Perjalanan UTP – PBAKL 2011 (Bahagian 2) | beliamuda {dot} com