Salam sejahtera buat semua.
Anime ialah animasi dari Jepun. Ia merupakan satu industri yang besar dan sangat popular di seluruh dunia. Sebut sahaja pelbagai anime yang popular seperti Doraemon, Naruto, One Piece dan banyak lagi. Ia merangkumi pelbagai jenis genre yang memfokuskan kepada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. Kegilaan terhadap anime ini boleh dilihat apabila wujud fansub iaitu kumpulan peminat yang sanggup untuk menterjemahkan anime Jepun ke dalam bahasa lain terutama bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol dan bahasa Perancis tanpa sebarang upah (kebanyakan fansub terus hidup oleh sumbangan daripada penonton fanatik).
Disebabkan oleh populariti anime itu sendiri, kebanyakan anime yang mendapat sambutan peminat seluruh dunia telah dilesenkan oleh para kapitalis yang kebanyakannya adalah dari Amerika Syarikat seperti Viz Media, Funimation Entertainment, The Rightstuf International, Bandai America Incoprated dan Toei Animation (Jepun) – sekadar menyebut beberapa nama sahaja.
Kewujudan Fansub
Asal kewujudan fansub boleh dikesan sejak 10 hingga 15 tahun lalu. Kewujudan fansub pada asalnya adalah untuk membawa anime ini keluar dari Asia kerana pada masa tersebut syarikat yang berasal dari Jepun tidak mempunyai cukup kewangan untuk membawa lebih banyak anime ke pasaran global.
Sebagai jalan penyelesaian, fansub akan menjalankan proses menterjemah anime tersebut ke dalam bahasa Inggeris (kebiasaannya) dengan menambah sari kata (baca: subtitles). Dengan kata lain, fansub bertujuan untuk mempromosikan anime kepada penonton lain di seluruh dunia. Salah satu prinsip fansub ialah menghentikan proses pengedaran apabila anime tersebut dilesenkan di AS.
Contoh popular ialah tindakan Dattebayo menghentikan proses menterjemah anime Naruto pada 15 Jan 2009. Proses penterjemahan anime Naruto itu sendiri merupakan satu kisah yang penuh liku sebelum Dattebayo mengambil alih proses perterjemahan. Anime Naruto yang diterjemah oleh Dattebayo mendapat sambutan oleh peminat disebabkan oleh kualiti yang bagus dan juga kepantasan anime tersebut diterjemah.
Tindakan Dattebayo menghentikan penterjemahan anime Naruto sangat mengejutkan. Walaupun Crunchy Roll mendapat hak ekslusif untuk menyiarkan anime Naruto sebaik sahaja episod itu disiarkan di Jepun, peminat perlu membayar untuk berbuat demikian. Jika mereka mahu menonton secara percuma, ia boleh dilakukan seminggu kemudian. Anime Naruto masih lagi diedarkan di laman torrent oleh HorribleSub, namun versi ini berasal daripada versi High Definition (HD) video daripada Crunchy Roll.
Itu adalah satu contoh yang berlaku kepada anime Naruto. Populariti anime Jepun yang meingkat di AS membolehkan anime-anime lain turut dilesenkan. Namun begitu, fansub masih lagi begerak aktif dan mereka lebih dikenali sebagai digisub kerana menggunakan medium internet sebagai sebaran (dulu menggunakan pita VHS).
Masalah Hak Cipta
Secara teknikalnya, proses penterjemahan yang dilakukan oleh fansub menyalahi undang-undang hak cipta di bawah WTO TRIPS agreement. Namun, disebabkan kurangnya tindakan yang diambil oleh pemegang hak cipta sesebuah anime yang kebiasaanya adalah pencipta dan penerbit dari Jepun, fansub tidak bimbang akan tekanan undang-undang. Lagipun, proses yang dilakukan oleh fansub lebih kepada bentuk promosi kepada penonton di luar Jepun,
Suasana ini berubah apabila sesuatu hak cipta anime itu dibeli atau dipindahkan kepada syarikat yang berpangkalan di AS. Syarikat ini begitu aktif dalam menjalankan proses menyaman mereka yang terlibat dalam proses mengedar atau memiliki sesuatu harta intelek (baca: anime) secara tidak sah. Satu kenyataan yang memang diketahui umum bahawa AS adalah masyarakat yang suka menyaman (baca: sue society). Sebab itulah kebanyakan fansub yang terkenal dan dikenali ramai seperti Dattebayo menghentikan proses penterjemahan apabila ia mula dilesenkan di AS. Lagipun, Dattebayo itu sendiri berpangkalan di AS.
Satu lagi contoh tindakan aktif menghalang proses pengedaran yang dilakukan oleh fansub ialah berkaitan anime Detective Conan (Jepun: Metantei Conan, AS: Case Closed). Anime DC dilesenkan oleh Funimation Entertainment untuk kawasan Amerika Utara. Sebelum ini anime DC boleh didapati dengan meluas di laman penstriman video (baca: video streaming) dan laman perkongsian fail dalam talian (baca: file sharing online).
Antara laman yang menyediakan pautan untuk peminat memuat turun anime secara dalam talian ialah Anime A. Penulis sendiri masih ingat ketika mula-mula mengenali laman ini. Ketika itu pautan untuk memuat turun anime begitu banyak disediakan di sini. Sebut sahaja dalam format AVI, MPEG, atau RMVB. Kebanyakan fail ini dihoskan di Rapidshare dan Megaupload serta beberapa lagi servis perkongsian fail dalam talian. Di awal tahun 2009 penulis mula memuat turun anime DC, namun hanya sempat selesai di episod ketujuh. Selepas itu segala pautan yang disediakan telah dipadam atas permintaan daripada Funimation. Fail yang dihoskan turut dipadam.
Kebiasaannya, pengedaran yang berskala besar sering kali mendapat perhatian. Ini kerana pihak pengedar akan mendapat kerugian jika terdapat sumber percuma untuk diperolehi oleh pengguna. Atas dasar inilah undang-undang hak cipta tersebut dicipta. Kebanyakan negara di dunia telah menadatangani perjanjian WTO itu (153 negara setakat 23 Julai 2008), termasuklah Malaysia. Ini bermakna, sebarang pengedaran di dalam negara terbabit adalah salah sama sekali. Walaupun begitu, ini tidak bermakna pengedaran adalah sah di negara yang berkecuali. Sudah pasti pihak pengedar akan mencari jalan untuk mendapatkan kembali segala kerugian yang dialami di negara berkecuali itu.
Kisah pengedaran anime DC tidak berakhir di situ. Kewujudan beberapa kumpulan fansub sejak awal penyiaran anime DC memastikan kelangsungan pengedaran anime ini di laman torrent. Sehingga kini, DCTP – Detective Conan Translation Project adalah di antara fansub anime DC yang masih lagi aktif. DCTP menggunakan torrent sebagai cara utama pengedaran di samping muat turun secara terus (namun servis ini tidak berfungsi semasa artikel ini ditulis).
Walaupun begitu, terdapat seorang peminat tegar anime DC yang berusaha untuk membolehkan anime DC boleh didapati secara muat turun terus daripada laman perkongsian fail dalam talian. Peminat tersebut yang dikenali sebagai TheQuyen pada asalnya aktif di Anime A. Namun, sejak pautan anime DC dibuang daripada Anime A, TheQuyen terus aktif di forum Anime A.
Akhirnya, sekali lagi pautan yang terdapat di forum tersebut turut dibuang. Segala episod anime DC sehingga 131 yang dihoskan di Megaupload telah dibuang. TheQuyen di laman kepunyaannya ada menyatakan pada 26 Jun 2009, dia telah memuat naik semula episod yang telah dibuang itu. Setakat artikel ini ditulis, TheQuyen telah siap memuat naik semula sehingga episod 50.
Walaupun apa yang dilakukan oleh fansub dan TheQuyen ini menyalahi undang-undang hak cipta, namun ini tidak menjadi batu penghalang bagi peminat tegar. Usaha mereka untuk terus menyediakan alternatif kepada para peminat anime yang lain bagi membolehkan mereka memperoleh anime yang diminati secara mudah dah percuma sering kali mendapat sokongan. Tidak hairanlah jika fansub itu ada memberikan ruang untuk derma, pasti ia akan mendapat bantuan. Walaupun begitu, ada juga fansub yang langsung tidak menerima apa-apa bantuan kewangan dan bergerak secara bebas.
Masa Depan Fansub
Melihat keadaan yang berlaku sekarang, seperti penarikan Dattebayo daripada menterjemah Naruto dan tindakan yang diambil oleh pemilik hak cipta, masa depan fansub masih lagi kabur. Walaupun begitu, Dattebayo sendiri masih lagi menjalankan proses menterjemah beberapa lagi anime lain seperti Bleach, 07 Ghost, Genshiken dan beberapa lagi.
Jika dilihat kepada tajuk anime tersebut, kebanyakannya tidak mendapat populariti yang tinggi. Buat masa sekarang, kewujudan fansub dilihat sebagai medan untuk mempromosi anime itu sendiri. Ada juga anime yang tidak dilesenkan semata-mata untuk memberi ruang kepada tujuan penyebaran secara terbuka dan beberapa sebab lain seperti anime Boys Be dan Kokoro Library. Pengguna sudah semestinya kurang berminat untuk mendapatkan DVD anime yang langsung tidak dikenali. Oleh itu, tindakan fansub dilihat sebagai satu jalan penyelesaian.
Walaupun begitu, terdapat golongan fansub yang tidak mematuhi prinsip dan undang-undang hak cipta. Walaupun sesuatu anime itu telah dilesenkan, mereka masih terus menterjemah dan mengedarkannya. Melihatkan ruang penyebaran oleh fansub itu sendiri ada hadnya, penulis berpendapat fansub patut diberi ruang untuk meneruskan usaha mereka. Ini sebagai satu tanda berterima kasih di atas promosi percuma yang telah diberikan dan untuk mewujudkan situasi menang-menang (baca: win-win situation) di antara fansub, pemilik hak cipta dan peminat anime.
Rujukan;
- http://www.mania.com/licenses/ (Senarai anime yang dilesenkan)
- http://www.animesuki.com/licensed.php (Senarai anime yang dilesenkan)
- http://www.animesuki.com/doc.php/licensed/ (Artikel ringkas mengenai perlesenan anime)
- http://dattebayo.com/pr/100 (Pengumuman Dattebayo memberhentikan proses penterjemahan Naruto)
- http://forums.animesuki.com/showthread.php?t=951 (Berkaitan hak cipta dan fansub)
- http://www.wto.org/english/thewto_e/whatis_e/tif_e/org6_e.htm (Senarai negara di bawah perjanjian WTO TRIPS agreements)
- http://anime.dctp.ws/ (Laman rasmi DCTP)
- http://thequyen.weebly.com/index.html (Laman rasmi TheQuyen)
- http://en.wikipedia.org/wiki/Anime (Rujukan anime di Wikipedia)
- http://en.wikipedia.org/wiki/Case_Closed (Rujukan anime DC di Wikipedia)
- http://prpm.dbp.gov.my (Penukaran istilah bahasa Malaysia – Bahasa Inggeris)
beliamuda: artikel ini telah ditulis sejak bulan Julai lagi. Baru sekarang teringat nak siarkan kat blog. Entri paling skema setakat ni…
cool.. yups.. fanclub sangt best sebab dapat tengok anime cepat n free..
tp aku xla sampai nak berforum dalam web fanclub tu..
ko pi jumpa pacak..pi bncang isu kapitalis2 yg conquer tu..
.-= luqman hakim´s last blog ..AbanG AkU KacaK =-.
@luqman hakim, sape la yang berforum dalam web fanclub tu? ko ke? aku takde rasanya…
takpelah, kalau aku gi jpe pacak, aku dengar je la apa dia ckp.. -_-“
salam
hohoho…baru aku faham sejarah fansub dengan lesen2 ni….great artikel eyh….
.-= HuRuL_AiNi´s last blog ..Blog kadang kala boleh jadi sungguh pelik… =-.
Pingback: Respon: HurulAini Memberikan Tip Tingkatkan Trafik | beliamuda {dot} com